Thursday, 11 April 2013

Seni Khat


SENI KHAT

Abstrak: Seni Khat merupakan seni yang mengandungi keindahan estetika yang paling penting dalam Islam. Ia lahir di bawah naungan tulisan Arab yang berada dalam lingkaran tamadun Islam, pada mulanya digunakan sebagai alat untuk mendapatkan pengetahuan dan penyampaian maklumat, tulisan khat digunakan untuk menulis ayat-ayat suci Al-Quran, maka ia diperelokkan lagi sesuai untuk mencatat ayat-ayat suci itu, kemudian ia telah bertukar menjadi seni yang menghiasi lembaran buku,  masjid dan lain-lain

Pada peringkat permulaan, seni khat terdapat di dalam bahasa Arab di tempat permulaan tibanya Islam. Kebanyakannya didapati pada kubur seperti pada makam Sultan Al-Malik Al–Salih (1297M) di Pasai dan di Jolo, Filipina (1310M). Tetapi seni khat secara tulisan Jawi terawal yang diketahui ialah yang terdapat di Batu Bersurat, Terengganu bertarikh 702H / 1303 M.

 Perkembangan seni khat Melayu atau Jawi bermula dengan tradisi penulisan  sastera selepas kedatangan Islam. Seni khat bermula di istana Raja-raja Melayu dan berkembang di sekolah pondok serta melalui penyalinan kitab bahasa Arab dan Melayu yang dilakukan oleh penulis seni khat yang mahir. Mereka mendapat pengetahuan dalam seni ini sama ada mempelajarinya di Tanah Suci Mekah atau daripada guru-guru yang memperkembangkannya di tanahair.

Qalam bererti khat dan qalam juga bererti pena iaitu alat yang bermata pena diperbuat daripada buluh atau kayu untuk menulis dengan menggunakan dakwat. Penulis seni khat juga telah berikhtiar memperelokkannya dengan melahirkan berbagai-bagai bentuk yang kebanyakannya sudah tidak digunakan lagi dan yang tinggal di masa ini hanya contoh inskripsi dan skrip di dalam buku dan warisan sejarah, dikecualikan beberapa jenis di antaranya Kufi, Sulus, Nasakh, Req’ah, Farisi, Diwani dan Diwani Jali. Disamping itu, seni khat juga telah melahirkan pelbagai ilmu sampingan di antaranya ilmu mengenai alat tulis, ilmu kaedah menulis,  ilmu memperelokkan huruf, ilmu cara mengenali asal huruf dan ilmu menyusun huruf.

Khat Sulus sesuai sebagai perhiasan di masjid, nama-nama surah dalam Al-Quran, papan tanda dan sebagainya. Bentuk ini dikenali sebagai Ummul-Khutut (Ibu tulisan), bentuk Khat Sulus yang lebar mata penanya melebihi 6mm dinamakan Sulus Jali manakala yang melebihi 2mm ialah Sulus biasa. Bentuk Nasakh telah mengambil alih bentuk Kufi dalam penulisan Al-Qur’an, bentuk ini digunakan dalam percetakan ayat-ayat Al-Qur’an, Hadis, surat khabar, buku pelajaran dan lain-lain.

Kitabah (tulisan) dikenali pada zaman permulaan Islam dengan huruf-huruf yang dimajukan oleh bangsa Arab di Hijaz. Khat adalah satu bentuk tulisan yang terikat dengan peraturan dan kaedah yang telah dikaji dan ditentukan oleh mereka yang terlibat dengan kemajuan seni ini. Memandangkan tulisan Arab pada zaman permulaan Islam tidak mempunyai bentuk rupa yang tertentu hingga ke akhir abad 1 Hijrah (7 Masihi), justeru tidak dinamakan tulisan diperingkat awal itu dengan perkataan khat, kerana khat itu sendiri terikat kepada bentuk seni yang mempunyai ukuran dan kaedah yang telah ditentukan.

Kesimpulannya, terdapat beberapa jenis tulisan khat yang digunakan oleh penulis tulisan  khat di Malaysia seperti Kufi, Sulus, Nasakh, Req’ah, Farisi, Diwani dan Diwani jali. Islam tidak  menghalang umatnya tertarik dengan keindahan, malah mengiktiraf keindahan dan kesempurnaan itu sebagai satu tuntutan agama. Penulisan khat memerlukan latihan yang berterusan dan kesabaran untuk menghasilkan tulisan yang baik dan sempurna.

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment